Perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura dibenar mulai 29 November

0
2

PERJALANAN rentas sempadan Malaysia dan Singapura melalui udara menggunakan Lorong Perjalanan Vaksinasi (VTL), dibenarkan mulai 29 November ini.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong menerusi satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Beliau yang menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan, keputusan itu dicapai berikutan Malaysia dan Singapura telah mencapai kemajuan yang baik dalam pemberian vaksin dan menguruskan wabak Covid-19.

“Bercakap kepada Ismail Sabri melalui panggilan telefon hari ini mengenai pelancaran VTL antara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mulai 29 November.

“Singapura dan Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik dalam memberi vaksin kepada populasi kita dan menguruskan wabak, jadi kami bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk menyambung semula perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara secara progresif.

“Ini akan membantu memulihkan ekonomi kita, memulihkan hubungan antara rakyat (kedua-dua negara) dan mengukuhkan perkongsian dua hala,” katanya dalam kenyataan itu.

Hsien Loong berkata, panggilan telefon bersama Ismail Sabri juga membincangkan mengenai pembukaan semula laluan darat yang melibatkan Tambak Johor dan Link Kedua.

“Kami berharap untuk menggunakan kaedah skim VTL yang sama antara Singapura dan Johor dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, sempadan Malaysia-Singapura ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here