Guna perkataan ‘Lahabau Melaka’, Nie Ching mohon maaf

0
3

PEMIMPIN DAP, Teo Nie Ching tampil memohon maaf kepada rakyat Melaka susulan menggunakan perkataan tidak sopan dalam sebuah poster sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Poster memaparkan gambarnya dengan perkataan “Lahabau Melaka, Jom Undi” tular di media sosial hari ini, menjadi kontroversi kerana mengguris perasaan rakyat Melaka.

“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuat naikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.

“Saya berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuat naikkan bahan-bahan kempen media sosial untuk PRN Melaka.

“Dengan menyusun 10 jari memohon maaf buat semua, terutama rakyat dan pengundi Melaka,” katanya di Facebook, hari ini.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut mengakui keghairahan menyambut PRN Melaka menyebabkan para petugas Pakatan Harapan (PH) terlepas pandang perkataan sensitif itu digunakan pada bahan kempen.

“Berikutan larangan ketat berkempen, hampir semua kempen untuk PRN Melaka terpaksa dilaksanakan melalui media sosial.

“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen,” katanya.

Beliau juga mengakui malu atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku itu.

“Namun, manusia tidak pernah lepas daripda kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.

“Saya cuma ingin berkempen melalui “frame” percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here