Bulan Keluarga Kebangsaan kini dikenali Bulan Keluarga Malaysia

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan penjenamaan semula Bulan Keluarga Kebangsaan sebagai Bulan Keluarga Malaysia bermula tahun ini.

Beliau berkata, penjenamaan semula itu seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia.

“Bulan November setiap tahun diisytiharkan sebagai Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan sejak tahun 2012, bertujuan menggalakkan penglibatan semua pihak untuk untuk mengukuhkan institusi keluarga dalam sosioekonomi negara.

“Ia selaras pelaksanaan Dasar Keluarga Negara yang bermatlamat membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan teguh serta berdaya tahan untuk memastikan kestabilan sosial demi kesejahteraan negara.

“Bagaimanapun ia berbeza dengan konsep Keluarga Malaysia yang ideanya saya cetuskan sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 22 Ogos lalu, yang memfokus kepada usaha menyatupadukan rakyat dalam sebuah keluarga besar bagi menghadapi cabaran krisis berkembar iaitu ekonomi dan Covid-19,” katanya ketika melancarkan Bulan Keluarga Malaysia hari ini.

Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia bertunjangkan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang mempunyai visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan pendekatan kekeluargaan.

‘Ia juga bersifat ‘actionable’ kerana setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 1 program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, sambutan tersebut pada bulan ini akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar.

“Selain penyertaan kementerian-kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan amat berharap sektor swasta, NGO dan komuniti turut mengambil bahagian agar program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

“Malah, penganjuran program juga boleh dilakukan pada peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here