SELEPAS kesemua parti utama negara mengumumkan senarai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing setakat semalam, sekurang-kurangnya empat kerusi bakal menyaksikan saingan empat penjuru.
Empat kerusi tersebut ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Sungai Rambai, Gadek dan Duyong.
Ia selepas Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mengumumkan bakal meletakkan calon di keempat-empat kerusi berkenaan.
Paling mencuri tumpuan ialah kerusi DUN Pengkalan Batu yang kini disandang Datuk Norhizam Hassan Baktee yang dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru.
Norhizam yang dijangka mempertahankan kerusi itu sebagai calon Bebas bakal dicabar empat calon lain dari BN, PN, PH serta PUTRA yang telah menamakan calon masing-masing bagi merebut DUN tersebut semalam.
Calon Umno mewakili BN di Pengkalan Batu ialah Datuk Kalsom Nordin; Mohd Azrudin Md Idris (Bersatu-PN); Muhamad Danish Zainudin (DAP-PH) serta Dr Muhammad Alwi Sani (PUTRA).
Setakat ini BN, PN serta PH telah mengumumkan senarai calon untuk bertanding di semua 28 kerusi DUN manakala PUTRA akan bertanding lima kerusi.
Penamaan calon bagi kesemua kerusi akan berlangsung esok, manakala hari pengundian pada 20 November ini. – Malaysiapost

