MAJLIS Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN, JPM) menafikan dakwaan penutupan sempadan negeri Melaka dalam tempoh 15 hari berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menerusi kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, penyebaran prosedur operasi standard (SOP) penutupan sempadan negeri Melaka seperti yang tular di media adalah palsu.
“MKN, JPM menegaskan, kenyataan tersebut adalah palsu dan orang ramai dinasihatkan agar berhenti daripada menyebarkan maklumat yang tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan itu hari ini.
Hari ini, tular di media sosial kenyataan mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup sempadan negeri Melaka selama 15 hari iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon Isnin ini sehingga hari mengundi 20 November.
Kenyataan tersebut antaranya turut menyatakan bahawa penutupan sempadan termasuk sekatan jalan raya (SJR) diaktifkan oleh pihak PDRM. – Malaysiapost

