Bertembung Rauf, setiap DUN ada cabarannya – Mas Ermieyati

0
2

DATUK Mas Ermieyati Samsudin tidak menafikan saingan sengit bakal diterimanya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti. 

Bagaimanapun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyifatkan ianya lumrah yang berlaku dalam saingan setiap kali pilihan raya diadakan. 

Beliau menjelaskan akan berusaha keras memandangkan lawan yang ditandinginya bukan calang-calang kerana Datuk Seri Ab Rauf Yusoh merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka. 

“Sebenarnya di setiap mana-mana DUN pun sama. Dia punya cabaran, dia punya tumpuan. Mungkin di tempat tu (Tanjung Bidara) kena extra usaha sebab ini lah  (Pengerusi Perhubungan Umno di situ),” katanya ketika ditemui selepas selesai majlis pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam, petang tadi. 

DUN Tanjung Bidara adalah salah satu daripada lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Masjid Tanah. 

Untuk rekod, Mas Ermieyati merupakan Ahli Parlimen Masjid Tanah apabila memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum bertindak melompat parti beberapa hari selepas BN kalah. 

Ditanya kenapa beliau bertanding di DUN sedangkan telah menyandang sebagai Ahli Parlimen, Mas Ermieyati ada jawapannya tersendiri. 

“Secara peribadi saya merasakan tidak perlu saya bertanding mana-mana kerusi pada PRN Melaka ini kerana saya telah pun menjadi Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri. 

“Tetapi saya yakin pasti ada sebab dan strategi oleh pucuk pimpinan parti yang meletakkan saya sebagai salah seorang calon pada PRN kali ini,” katanya. 

Selain Mas Ermieyati dan Rauf, seorang lagi calon ialah daripada Pakatan Harapan, Zainal Hasan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here