Dr Muhammad Faiz Na’aman
DAHULU rakyat Melaka khususnya Bumiputera tidak banyak pilihan jika mahu memilih pihak mana yang difikirkan sesuai untuk membela nasib masa depan anak cucu mereka di negeri bersejarah tersebut. Jika bukan Umno-BN, maka DAP-PKR. Dua-dua pihak sarat dengan masalah.
Orang Melaka tahu jika silap memilih pemimpin sejarah mungkin boleh berulang kembali seperti runtuhnya Kota Melaka ditawan penjajah ratusan tahun dahulu. Maka sejak merdeka, majoriti mereka letak kepercayaan kepada satu parti yang dianggap keramat oleh orang Melayu.
Malangnya pihak yang dianggap pembela bangsa itu sarat dengan skandal, budaya korupsi, politik wang dan mentaliti feudalistik berasaskan “warlordism” hingga mempersulitkan kemunculan watak-watak muda dan baru dalam politik yang bukan saja lebih cerdik tetapi berani membawa perubahan minda dan berintegriti.
Selama ini rakyat khususnya Melayu-Islam jadi serba salah untuk mengundi siapa. Kerana hakikatnya tiada pihak yang sempurna atau ideal dalam politik. Mereka mahu pihak yang berprinsip tegas dalam hal-hal yang termaktub dalam perlembagaan negara, tetapi bersikap sederhana menghadapi kemajmukan masyarakat, dan fokus membawa kemajuan ekonomi serta berintegriti.
Pakej yang ada sebelum wujudnya Bersatu-PN ialah Umno-BN, PAS dan PKR-PH. Itu senario sebelum PRU ke-14 lalu. Ada yang tolak BN kerana korupsi tetapi tak dapat menerima PH kerana sentimen cauvinisme serta ultra liberalisme sesetengah pemimpin DAP. Ada yang anggap Umno terlampau ekstrem guna sentimen kaum pula. Jadi rakyat dalam dilema.
Maka kelompok rakyat yang mahukan keseimbangan dalam politik telah mencuba nasib mereka dengan mengundi PH yang di dalamnya ketika itu turut disertai parti bersifat nasionalis sederhana iaitu Bersatu walaupun ada yang pedih terpaksa menerima DAP dalam pakej yang sama. Rakyat mahu perubahan dan mahu mengajar Umno-BN ketika itu.
Namun gabungan dengan DAP dalam PH yang telah mentadbir negara selama 22 bulan dahulu ternyata membuka mata rakyat bahawa manifesto yang dijanjikan itu hakikatnya tidak realistik untuk ditunaikan, malah kejadian perkauman serta desakan dari pihak pro Anwar dalam PKR untuk menjatuhkan Tun Dr Mahathir dari tampuk Perdana Menteri makin menjadi-jadi.
Maka atas dasar inginkan kembali penyatuan ummah sebagai teras perpaduan nasional, Parti Bersatu setelah Kongres Maruah Melayu pada tahun 2019 di Shah Alam itu telah mengusahakan inisiatif pembentukan kerajaan PN bersama PAS dan Umno dengan harapan Umno sudah dan boleh berubah setelah BN terpukul dengan kekalahan dalam PRU ke-14.
Tetapi apa yang diharapkan itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. Umno tetap Umno. Walaupun ada yang masih elok di dalamnya namun kepimpinannya dikuasai oleh kumpulan yang cukup benci dengan Bersatu dan cukup angkuh dengan PAS. Kelompok ini juga disulami watak-watak yang masih berulang-alik ke mahkamah kerana pelbagai kes korupsi.
Setelah menumbangkan MB Perak YB Datuk Seri Faizal Azumu secara bersengkongkol dengan DAP, dan mensabotaj PM kerajaan bersama iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga jatuh, kini Melaka juga menjadi mangsa apabila puak yang sama gila berebut keuntungan dari bisnes pasir. Oleh yang demikian rakyat Melaka wajarlah hukum Umno-BN ini secara berjemaah dalam PRN ini.
Penulis ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu
(Artikel ini diambil dari catatan di Facebook penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

