AUSTRALIA dan Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama untuk saling menyokong serta memacu pemulihan daripada wabak Covid-19, kata Menteri Luar Negeri Australia, Marise Payne.
Menerusi satu ciapan di Twitter, Payne berkongsi pertemuannya dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.
Menurutnya perbincangan itu antara lain telah menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara kedua-dua negara khususnya berkaitan usaha bersama dalam fasa pemulihan Covid-19.
“Menteri Kesihatan Malaysia @Khairykj dan saya membincangkan pendekatan kedua-dua negara, termasuk pertukaran teknikal, vaksin dan kesihatan mental,” ciapnya.
Dalam maklum balasnya, Khairy pula berkata banyak perkara yang perlu disusuli terutamanya kerjasama dalam kesejahteraan mental.
Payne kini dalam lawatan kerjanya yang pertama ke Malaysia selepas dilantik ke jawatan berkenaan, bermula semalam sehingga Ahad.
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya berkata, kedatangan Payne ke negara ini disambut oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah sebelum kedua-duanya akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Negeri ke-empat antara Malaysia dan Australia (AFMM) hari ini.
AFMM kali ini adalah mesyuarat pertama yang diadakan selepas kedua-dua Perdana Menteri Malaysia dan Australia melancarkan Kerjasama Komprehensif Strategik pada 27 Januari lalu.
Katanya, ketika lawatannya Payne turut akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. – Malaysiapost

