Md Rayhan Kabir direman 14 hari bagi membantu siasatan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, lelaki Bangladesh itu ditahan Unit Risikan Operasi, Jabatan Imigresen Putrajaya, jam 5.45 petang semalam di Setapak sebelum diserahkan kepada polis kira-kira jam 6 petang.
“Pihak berkuasa sudah menangkap lelaki itu semalam dan dia direman 14 hari bagi membantu siasatan, bermula hari ini.
“Kita akan memastikan siasatan dilakukan dengan sebaik mungkin dan kemudian mengambil tindakan sewajarnya,” katanya seperti dilaporkan BH.
Hamzah berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana membabitkan imej dan maruah negara.
Md Rayhan menjadi buruan selepas membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud diskriminasi kerajaan Malaysia dalam mengendalikan kes Covid-19 melibatkan warga asing.
Dakwaan itu diterbitkan menerusi sebuah dokumentari oleh Al Jazeera pada 3 Julai lalu dan susulan itu polis turut menyiasat mereka yang terlibat dalam penghasilan dan penyiaran dokumentari tersebut.
