Sub-kontraktor, pemandu lori kanvas terbang dikenakan tindakan tegas

0
2

KDEB Waste Management (KDEBWM) sudah mengambil tindakan tegas susulan insiden kanvas lori ‘terbang’ hingga menyebabkan kemalangan di Jalan Puchong-Cyberjaya, Dengkil, semalam.

Pengarah Urusannya Ramli Mohd Tahir mengesahkan kejadian itu membabitkan sebuah lori sampah milik syarikatnya dan tindakan sudah diambil terhadap sub-kontraktor serta krew dan pemandu lori berkenaan.

Menurutnya, pihak sub-kontraktor dan pemandu lori berkenaan akan membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, esok.

“Terlebih dahulu KDEBWM mengucapkan terima kasih dengan keprihatinan orang ramai yang melaporkan insiden membabitkan lori sampah KDEBWM jenis ‘Armroll’ dengan penunggang dan pembonceng motosikal pagi semalam.

“Kejadian itu berlaku disebabkan tali pengikat kanvas putus hingga menghalang penunggang dan pembonceng motosikal terbabit sebelum hilang kawalan dan mengalami kemalangan.

“KDEBWM kesal dengan insiden yang berlaku dan tindakan sudah diambil terhadap sub-kontraktor, pemandu dan krew lori terbabit,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya untuk urusan siasatan polis serta tindakan lanjut mengikut undang-undang dan segala urusan perubatan dan ganti rugi juga sedang diselesaikan dengan mangsa yang kini sedang menjalani rawatan.

Menurutnya, KDEBWM memandang serius isu itu dan akan mengambil tindakan tegas kepada sub-kontraktor yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk menamatkan kontrak sekiranya perlu.

“KDEBWM amat menitik beratkan isu pematuhan SOP dan menghargai komitmen serta keprihatinan orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Selangor,” katanya.

Semalam, tular di media sosial mengenai kejadian yang dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang pada 8 pagi.

Video berdurasi 45 saat itu menunjukkan kanvas yang menutup bahagian belakang lori melayang dan ‘membalut’ badan penunggang dan pembonceng motosikal sebelum ia hilang kawalan dan terlanggar tayar treler yang sedang bergerak laju. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here