LIMA kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini di lima negeri dengan empat daripadanya adalah kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster-kluster berkenaan dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan.
“Kluster tempat kerja yang dilaporkan adalah Kluster Tapak Bina Jalan Rumbia, Kuala Selangor (12 kes); Kluster Persiaran Alam 2, Cheras (11 kes); Kluster Industri Jalan Teluk Buloh, Batu Pahat (13 kes) dan Kluster Sawit Bukit Puteri, Lipis (18 kes).
“Kluster komuniti yang dilaporkan adalah Kluster Tekir, Seremban dengan 19 kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhan sebanyak 5,793 kluster dikesan di seluruh negara setakat ini, dengan 367 daripadanya kluster aktif dan 5,426 kluster lagi sudah tamat.
Sementara itu, sebanyak 93 kes atau 1.6 daripada 5,713 kes baharu dilaporkan hari ini membabitkan tiga, empat dan lima, manakala 5,620 kes atau 98.4 peratus lagi terdiri kategori satu dan dua. – Malaysiapost

