I-Citra: ‘Sebaik-baiknya ada daripada tiada langsung’ – Mohd Hairi

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10226874236630988&set=pb.1504283021.-2207520000..&type=3

PEMUDA Umno Johor menggesa kerajaan supaya meneliti semula keperluan pemberian i-Citra dengan mempertimbangkan jika tidak diluluskan pengeluaran nilai RM10,000, mungkin dikurangkan kepada RM5,000.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, cadangan itu bukan satu ‘political mileage’ yang ingin dibawa Pemuda Umno, tetapi soal keperihan hidup rakyat yang amat memerlukan terutama mereka yang duduk di tengah bandar dan kotaraya yang amat menunggu pengumuman Bajet 2022.

“Namun, masih ada suara-suara dan luahan daripada masyarakat di bawah sana yang ternanti-nanti dengan pengumuman i-Citra Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), namun kecewa selepas menunggu dua jam mengadap televisyen mengikuti sesi pembentangan bajet berkenaan.

“Ada yang memerlukannya bagi membayar wang sewa rumah yang tertunggak sehingga diarah keluar dari rumah, ada juga yang memerlukan bagi melunaskan tunggakan tiga bulan ansuran kenderaan, malah ada yang merintih bantuan sekali beri RM300 tidak cukup menampung kehidupan dirinya dan keluarga ekoran diberhentikan kerja.

“Ini adalah realiti masyarakat di bawah dan saya percaya banyak aduan dan rintihan sama didengar bukan sahaja di Johor Bahru atau daerah lain di Johor, malah seluruh negara rakyat di bawah ini sedang mengalami situasi sama, malah mungkin ada yang lebih teruk yang kita tidak sedari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hairi berkata, beliau berharap kerajaan dapat mendengar nadi dan suara rakyat yang memerlukan serta beri mereka sinar untuk meneruskan kehidupan.

“Kami mohon di dalam perbahasan di Parlimen yang sedang berlangsung, semua Ahli Parlimen dapat meluahkan dan menyatakan permohonan untuk tindakan Perdana Menteri serta Menteri Kewangan, di saat ketika rakyat di bawah sedang menderita,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Mohd Hairi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here