Marzuk harap negeri lain ikut Kelantan, laksana Enakmen Jenayah Syariah

0
2

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berharap usaha kerajaan Kelantan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dapat diikuti negeri lain bagi memartabatkan undang-undang syariah di Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan memandang positif pelaksanaan berkenaan yang sudah pasti akan menjadi pemula kepada penaiktarafan dan pemerkasaan perundangan syariah di Malaysia.

Katanya, usaha Kerajaan Kelantan berkenaan adalah batu loncatan pertama dalam memperkasa dan menaik taraf perundangan syariah di negeri itu.

“Diharapkan usaha dan aspirasi ini dapat menjadi contoh dan seterusnya diikuti oleh negeri-negeri lain, dalam memartabatkan undang-undang syariah di bumi Malaysia yang tercinta.

“Tahniah diucapkan buat Negeri Kelantan yang mula menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, selepas mendapat perkenan dari Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

“Sudah pasti, Enakmen Kanun Jenayah Syariah ini telah melalui berbagai fasa kajian dan penelitian, agar ia bersesuaian dengan perkembangan masyarakat pada hari ini,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Ahmad Marzuk berkata, antara perubahan terbesar dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 dari sebelum ini, adalah Enakmen tersebut mempunyai 24 peruntukan baharu.

“Antara peruntukan baharu dalam Enakmen ini adalah adanya peruntukan khusus berkenaan kesalahan sihir, pendakwaan palsu, persetubuhan dengan mayat serta bukan manusia, memutarbelitkan ajaran Islam, muamalat yang berlawanan dengan hukum serta penyalahgunaan tanda halal.

“Selain itu, sepertimana yang disebut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, enakmen ini melaksanakan hukuman yang bersifat retributif dan restoratif.

“Dalam erti kata lain, ia bukan sekadar menghukum. Malah lebih jauh lagi, ia juga bersifat mendidik pesalah untuk tidak mengulangi kesalahan, dan mendidik masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan.

“Inilah hasrat sebenar pelaksanaan undang-undang jenayah syariah dalam Islam, ia bukan hanya menghukum, malah mendidik pesalah dan masyarakat dalam usaha membasmi terus perlakuan mungkar dan jenayah,” katanya.

Beliau berkata, perundangan syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri, berdasarkan Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Segala pindaan terhadap undang-undang syariah negeri, termasuk Enakmen Kanun Jenayah Syariah harus dilakukan oleh negeri melalui Dewan Undangan Negeri.

“Manakala, di peringkat Kerajaan Persekutuan, kita memainkan peranan bagi menyelaras dan menggerakkan pemerkasaan undang-undang syariah mengikut bidang kuasa yang ditetapkan.

“Ia termasuk melalui perbincangan secara bersama dengan negeri-negeri, mesyuarat-mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam di Malaysia (MKI), serta perundingan Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil di bawah JAKIM,” katanya.

Terdahulu, Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah dikuatkuasakan di seluruh negeri ini bermula 1 November lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here