Ahli Parlimen terima dos penggalak hari ini

0
2

AHLI Parlimen hari ini mula mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) di Bangunan Parlimen.

Dos penggalak Pfizer itu diberikan bermula jam 9.30 pagi sehingga 4 petang di Dewan Bankuet di Bangunan Parlimen.

Antara yang telah menerima suntikan dos penggalak ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mohamad Sabu (PH – Kota Raja), Fahmi Fadzil (PH – Lembah Pantai), Datuk Seri Ahmad Maslan (BN – Pontian), selain Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Datuk Seri Ahmad Maslan (BN – Pontian)
Fahmi Fadzil (PH – Lembah Pantai)

Anggota jemaah menteri yang turut menerima suntikan hari ini ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mohamad menerusi hantaran di Facebook berharap semoga Allah memberikan kesihatan yang baik susulan suntikan dos penggalak itu.

“Menerima suntikan dos penggalak (dos ketiga) di Parlimen hari ini. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik dan melindungi rakyat dari wabak covid-19.

“Terima kasih Dr Muru dan rakan-rakan petugas Kementerian Kesihatan yang begitu tekun dan dedikasi. Jasa anda amat dihargai,” katanya.

Sementara itu Bernama melaporkan, Azhar Azizan berkata pemberian dos penggalak di Bangunan Parlimen itu bagi memastikan tahap keselamatan semua Ahli Parlimen berada pada tahap optimum.

Ini kerana katanya, mereka sering berjumpa rakyat dan pulang ke kawasan masing-masing khususnya ketika musim banjir.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan kerana menyediakan dos penggalak kepada semua Ahli Parlimen,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here