PELUASAN peluang pembelajaran akademik dalam kalangan pesalah muda di penjara adalah antara penambahbaikan aspek sosial negara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara kedua semalam.
Mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu turut membincangkan pemerkasaan penguatkuasaan jenayah terhadap kanak-kanak di media sosial.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata isu-isu seperti itu memerlukan penglibatan semua kementerian dan agensi bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
“Aspek sosio-ekonomi juga sentiasa menjadi keutamaan #TeamMOF bagi memastikan Bajet 2022 menjadi suar harapan, terang menyinar di hujung kemelut pandemik, agar rakyat kembali makmur dalam norma baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dalam hantaran berasingan, Tengku Zafrul berkata beliau semalam bersama pakar-pakar ekonomi berkongsi strategi di sebalik Bajet 2022 dan juga pendekatan kerajaan untuk mengimbangi kedudukan fiskal bagi jangka masa sederhana serta panjang.
“Kami di #TeamMOF sentiasa mengambil pendekatan berimbang untuk memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang sentiasa terpelihara,” katanya. – Malaysiapost

