Demonstrasi: 49 rakyat Malaysia selamat di Sudan

0
2

KESEMUA 49 rakyat Malaysia, termasuk 25 pelajar yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Sudan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan terus memantau rapat perkembangan terkini di Sudan, terutama selepas demonstrasi besar-besaran diadakan di seluruh negara tersebut pada 30 Oktober lalu.

Menurutnya, rakyat Malaysia tidak terkesan secara langsung dengan demonstrasi itu.

“Pegawai-pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan mereka. Seorang warganegara Malaysia telah meninggalkan Sudan menerusi penerbangan komersil pada 28 Oktober lalu.

“Manakala, seramai 17 rakyat Malaysia dan seorang staf Petronas warganegara Thailand masih ditempatkan secara sementara di Kediaman Rasmi Duta Besar,” kata kenyataan itu.

Kementerian turut meminta rakyat Malaysia di lokasi lain di negara itu untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan masing-masing.

“Mereka yang memerlukan bantuan konsular di Sudan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum menerusi talian +249 99 070 0350 atau e-mel [email protected] mahupun media sosial @Malawakil.Khartoum (Facebook) dan @MYEmbKhartoum (Twitter).

“Mereka juga boleh menghubungi Wisma Putra pada waktu pejabat di talian 03-88874201 / 4530 atau selepas waktu pejabat di talian 03-88874570,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here