KKM sahkan tiada kematian akibat vaksin Covid-19

0
2

[Parlimen] KERAJAAN mengesahkan tiada individu disahkan meninggal dunia akibat kesan menerima vaksin Covid-19, sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 24 Februari hingga Rabu lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata ia berdasarkan penilaian kasualiti dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap impak pemberian vaksin Covid-19.

Beliau berkata, daripada jumlah kes serius yang diterima setakat ini, terdapat 519 laporan merekodkan kes kematian dalam kalangan penerima vaksin Covid-19.

“Namun begitu, selepas penilaian kasualiti dijalankan, tiada kes kematian dapat dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19 yang diberikan, setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (PN-Alor Gajah) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Redzuan bertanya mengenai langkah keselamatan dijalankan KKM bagi memastikan vaksin diterima bersesuaian dengan penerima dan bentuk pampasan diterima penerima vaksin sekiranya terdapat kesan sampingan.

Sementara itu, Aaron berkata, belum ada permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19 diluluskan kepada penerima vaksin itu, yang mendakwa mengalami kesan sampingan serius atau kematian akibat pelalian berkenaan.

Katanya, KKM menerima 22,132 laporan kesan sampingan melalui sistem pelaporan sedia ada, bersamaan 0.45 laporan bagi setiap 1,000 dos vaksin yang diberikan.

Daripada jumlah itu, katanya, 1,483 laporan atau 0.03 bagi setiap 1,000 dos vaksin, dikategorikan sebagai serius, yang mana penerima vaksin menerima rawatan di hospital untuk pemantauan dan rawatan lanjut selama beberapa hari.

“Semua kes dikategorikan sebagai serius disiasat secara menyeluruh dan terperinci oleh fasiliti kesihatan, dan laporannya diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) untuk penilaian kasualiti atau hubung kait antara kesan sampingan dan vaksin yang diambil,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here