PIHAK sekolah diarah untuk membuat pemeriksaan sijil vaksinasi guru dalam aplikasi Mysejahtera bagi mengelak penipuan bermula hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata perkara itu penting bagi mewujudkan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat dan terjamin.
Katanya, memandangkan hari ini adalah hari terakhir bagi semua penjawat awam diarah mendapatkan vaksinasi, Kementerian Pendidikan (KPM) amat tegas mengenai arahan tersebut, lapor Melaka Hari ini.
“Mulai hari ini, pihak sekolah akan memeriksa sijil digital vaksinasi untuk memastikan setakat mana guru yang betul divaksin, maknanya periksa satu persatu sijil vaksinasi untuk memastikan yang mana sudah divaksinkan, mana yang tidak.
“Sebab kita tidak mahu ada kes-kes tertentu yang mana ada kes di mana (guru mengatakan) ada vaksin tetapi (sebenarnya) tidak divaksinkan dan sebagainya.
“Jadi kita akan pastikan setiap guru disemak sijil vaksin mereka oleh pihak sekolah bagi memastikan data terkini yang tepat,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek di Melaka hari ini.
Mohd Radzi berkata, langkah dibuat itu sejajar pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada penjawat awam yang bakal dikenakan tindakan tatatertib dan boleh dibuang kerja jika menolak vaksin Covid-19.
Beliau berkata, sejak pekeliling itu dikeluarkan jumlah guru yang enggan divaksin semakin menunjukkan pengurangan. – Malaysiapost

