Asyraf harap Najib bawa isu pengeluaran RM10,000 KWSP hari ini

0
2

PEMUDA Umno berharap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dapat membawa suara rakyat yang masih mengharap pengeluaran i-Citra KWSP dalam Ucapan Perbahasan Bajet 2022 petang ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata beliau sempat berhubung dengan bekas Perdana Menteri itu mengenai perkara tersebut agar ia diketengahkan di Dewan Rakyat.

“Dulu waktu Pemuda Umno bersama Datuk Seri Najib bersuara dan memperjuangkan agenda yang sama, alasan serupa juga diberikan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul (Abdul Aziz).

“(Iaitu) dengan memberikan statistik hampir sama bahawa 46% tidak punya simpanan melebihi RM10,000 dan menjejaskan simpanan hari tua rakyat.

“Namun selepas desakan berterusan akhirnya kerajaan akur jua dengan menawarkan i-Sinar dan i-Lestari,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata kali ini Menteri Kewangan sama walaupun nakhoda kerajaan sudah bertukar.

Namun katanya, kali ini bagi Pemuda Umno, penuhilah permintaan lebih 56% rakyat yang masih punya simpanan melebihi RM10,000 terutamanya dalam kalangan M40 ke atas untuk mereka memulakan kehidupan baharu pasca pandamik dengan pelbagai komitmen tertunggak yang perlu dilangsaikan.

“Ini boleh menjadi kebenaran pengeluaran KWSP kali terakhir memandangkan ekonomi sudah dibuka dan pandemik makin beransur pulih untuk memasuki fasa endemik.

“Kerajaan melalui KWSP boleh mencadang pula pendekatan terbaik untuk menampung kembali pengeluaran besar simpanan hari tua rakyat dengan pelbagai inisiatif pelaburan dan penambahan komitmen caruman tatkala ekonomi kembali pulih kelak.

“InsyaAllah Pemuda Umno tidak pernah berhenti daripada menjadi penyambung lidah rakyat dan akan terus memperjuangkan isu-isu rakyat terutamanya yang susah, resah dan terdesak untuk memenuhi keperluan dan meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu, tiada pengumuman mengenai pengeluaran KWSP RM10,000 secara sekali gus diumumkan Tengku Zafrul. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here