PKR kesal dengan tindakan pihak berkuasa mengeluarkan kompaun RM10,000 ekoran dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika berceramah kepada pengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mempersoalkan bagaimana Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengeluarkan kompaun tersebut sedangkan ceramah itu diadakan tanpa ada sebarang kontak fizikal, tiada perhimpunan dan berlangsung secara bergerak menggunakan lori.
Menurutnya, jumlah kompaun dikeluarkan juga tidak munasabah dan terdapat saksi melihat ceramah tersebut diadakan tanpa ada pelanggaran SOP.
“Pada ingatan saya kita ada gambar-gambar yang kita ambil menunjukkan petugas yang mengendalikan lori tersebut…ada pasukan media hadir dan juga pasukan keselamatan dan cawangan khas.
“Ini merupakan satu perkara yang amat saya kesali dan saya desak Menteri Kesihatan meneliti lebih tepat lagi apa sebenarnya yang tidak boleh dilakukan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya pada sidang media hari ini.
Shamsul Iskandar berkata, tidak wajar parti-parti tidak dibenarkan berkempen untuk pilihan raya kerana perkara itu boleh dilakukan dengan menggunakan kaedah-kaedah kreatif seperti dilakukan PKR, sebagaimana semalam.
Dalam pada itu, katanya, beliau akan menghantar surat kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin menggesa penjelasan mereka kepada anggota penguatkuasa agar lebih memahami arahan dan tidak bertindak secara pukul rata.
Katanya lagi, beliau akan merujuk surat kompaun yang diterima kepada peguam untuk tindakan selanjutnya dan berkemungkinan akan memfailkannya di mahkamah sekiranya terdapat keraguan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Shamsul Iskandar

