Peserta Felcra Belimbing bakal terima geran tanah, kebun

0
2

MENTERI Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi jaminan geran kebun dan tanah peserta Felcra Belimbing, Tualak, di Padang Terap, Kedah, akan diserahkan awal Disember ini.

Beliau berkata, permasalahan dihadapi penduduk yang sudah tinggal di kawasan itu sejak 40 tahun lalu sudah selesai dan akan menjadi hak milik mereka.

“Saya hendak umumkan satu berita gembira kepada penduduk dan peserta Felcra Belimbing ini iaitu berkenaan dengan masalah geran tanah kebun dan geran tanah kediaman rumah masing-masing akan diperolehi tidak lama lagi.

“Saya memberi jaminan bahawa geran itu selewat-lewatnya akan dikeluarkan dan diserahkan kepada peserta pada awal bulan Disember ini,” katanya.

Mahdzir yang juga merupakan Ahli Parlimen Padang Terap berkata demikian dalam Majlis Sembang Santai Keluarga Malaysia Peserta FELCRA Belimbing, Tualak di Kedah, hari ini.

Menurutnya, ketika ini proses akhir pengeluaran geran tersebut sedang berjalan di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap.

“Saya maklum bahawa ada 85 orang peserta Felcra di sini yang telah menunggu sejak 40 tahun lalu untuk memiliki tanah kebun dan tanah kediaman mereka itu, jadi saya pun bersyukur jugalah kerana masalah itu dapat diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, peserta Felcra kawasan tersebut, Md Isa Kadir, 70, meluahkan rasa syukur dengan pengumuman itu kerana penantian beliau selama 40 tahun untuk memiliki tanah kebun dan tapak rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.

Beliau yang juga Imam Surau Kampung Belimbing, Tualak menyifatkan pelantikan Mahdzir sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar yang baharu telah memberi rahmat kepada penduduk dan peserta Felcra di daerah Padang Terap.

Seorang lagi penduduk dan peserta Felcra Belimbing, Tualak, Rokiah Kadir, 67, pula berkata beliau terharu dengan berita yang disampaikan itu.

Beliau yang menjadi peserta Felcra di kampung itu sejak tahun 1981, menganggapnya sebagai hadiah paling berharga dalam hidupnya.

Setiap peserta Felcra Belimbing akan menerima hak milik tanah kebun getah seluas 4.01 hektar dan satu lot tanah kediaman. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here