SERAMAI enam wanita warga asing ditahan dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di sebuah premis di Pusat Bandar Utara Jinjang, Kuala Lumpur, semalam.
Kesemua mereka ditahan berusia antara 26 hingga 48 tahun.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata satu serbuan dilakukan pada jam 9.30 malam di sebuah premis di kawasan terbabit yang disyaki menjadi sarang pelacuran.
“Siasatan mendapati kegiatan ini berselindung di sebalik rumah persendirian dan mereka dipercayai baru sahaja beroperasi sejak dua minggu lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata polis merampas wang tunai RM200, kondom, seunit tablet, seunit Digital Recorder (Autopica), minyak urut dan minyak pelincir.
Menurutnya, kesemua suspek kini telah ditahan untuk siasatan yang dibuat mengikut Seksyen Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menyalahguna permit pekerjaan.
Eng Lai menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan tidak terlibat di dalam aktiviti kurang sihat seperti itu memandangkan wabak Covid-19 masih lagi aktif.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di 03-40482206,” katanya. – Malaysiapost

