SEORANG lelaki ‘naik angin’ dan bertindak memukul cermin topi keledar jurugambar lelaki selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Jalan Besar Seri Kembangan, Selangor, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, dalam kejadian pada 4.50 petang itu mangsa yang berusia 36 tahun menunggang motosikal terlibat dalam kemalangan dengan suspek
yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Pada mulanya mangsa sempat menghentikan motosikalnya daripada dilanggar kenderaan itu namun suspek secara tiba-tiba mengundur menyebabkan motosikalnya terperosok di bawah pacuan empat roda terbabit.
“Ketika sedang bercakap untuk menyelesaikan kemalangan itu, pemandu kereta terbabit yang berbadan besar, tinggi dan bertatu naik angin dan memukul cermin topi keledar milik pengadu dan menyebabkannya retak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

