UMNO akan berusaha mengelak daripada berlakunya pertembungan dengan calon parti yang pernah bekerjasama bersamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata ketika ini usaha perbincangan bersama pihak terbabit sedang dilakukan dan keputusan mengenainya akan diumumkan selepas ini.
“Ada dua benda saya nak cakap, pertama jika boleh dan sedang diusahakan agar tidak berlaku pertembungan. Kedua kita sedang lakukan rundingan dan perbincangan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021 di Alor Setar, Kedah hari ini.
Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Khamis membuat keputusan untuk bekerjasama dengan PAS pada PRN Melaka.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 iaitu memperkukuhkan MN dalam menghadapi PRN Melaka.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menyatakan Bersatu, PAS dan Gerakan sepakat untuk bertanding pada PRN Melaka akan datang menggunakan lambang PN.
Terbaru Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan beliau mencadangkan Umno dan Bersatu menggunakan lambang PAS pada PRN Melaka. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Mahdzir Khalid

