Bajet 2022: MINDEF terima peruntukan tertinggi sejak RMK9 – Hishammuddin

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=434098514751945&set=a.267969304698201

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyambut baik peruntukan sebanyak RM16.14 bilion yang diumum dalam Bajet 2022, semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata peruntukan itu meningkat kira-kira 1.78 peratus berbanding tahun lalu.

“Lebih bermakna, peruntukan yang diterima Kementerian Pertahanan tahun ini merupakan jumlah yang tertinggi sejak Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

“Dengan peruntukan yang besar ini, ia bukan sahaja membolehkan Kementerian Pertahanan meneruskan pelaksanaan inisiatif dan projek-sedia ada, malah meningkatkan lagi pelaksanaan inisiatif dan projek baharu merangkumi pelbagai agenda di bawah Teras-Teras Utama Kementerian Pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM11.10 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pengurusan (OE) dan RM5.04 bilion diperuntukkan untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Katanya, bagi agenda kesiagaan, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM4.54 bilion khusus untuk perbelanjaan berkaitan aset.

“Penting untuk saya maklumkan, peruntukan ini meningkat 87% berbanding RM2.42 bilion tahun lalu. Peruntukan yang ditambah ini sememangnya penting dan selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan untuk meningkatkan lagi usaha dalam memenuhi keperluan aset bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

“Selain aset, peruntukan Bajet 2022 turut akan digunakan untuk penggantian peralatan. Ini termasuklah peralatan utama Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM14 juta.

“Kerajaan juga bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi program menangani keusangan sistem yang melibatkan asetaset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi agenda kebajikan, Bajet 2022 semestinya akan dimanfaatkan sepenuhnya demi meneruskan usaha menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada anggota, veteran ATM dan warga awam Kementerian Pertahanan.

“Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM23 juta khusus untuk melaksanakan penggantian perabot di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang mana ia selari dengan hasrat yang saya suarakan semasa sesi libat urus Bajet 2022 bersama Menteri Kewangan.

“Untuk makluman, tiada peruntukan seumpama ini dalam Bajet tahun lalu. Tidak sekadar itu, Kementerian Pertahanan juga akan meneruskan inisiatif berkaitan RKAT termasuk senggara dan bina baharu. Ini termasuklah melalui peruntukan RM388 juta dalam Bajet 2022 khusus untuk RKAT,” katanya.

Beliau berkata, bagi agenda pendidikan pula, Kementerian Pertahanan akan memberi tumpuan terhadap usaha membaik pulih dan menambah infrastruktur baharu di sekolah-sekolah dalam kem ATM.

“Ini penting demi menyediakan perkhidmatan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak warga ATM.

“Manakala, bagi agenda sains dan teknologi, Bajet 2022 memperuntukkan sebanyak RM40.7 juta bagi pembangunan penyelidikan sains dan teknologi pertahanan yang akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE),” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Hishammuddin Hussein

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here