BELANJAWAN 2022 disifatkan selari dengan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) membantu memulihkan golongan usahawan untuk bangkit semula dalam memperkasakan ekonomi negara.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, MEDAC menyambut baik pembentangan Belanjawan 2022 kerana memberi perhatian kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang sangat terjejas disebabkan oleh pandemik Covid-19.
Katanya, MEDAC berharap supaya dana peruntukan yang disediakan untuk pemulihan dan pembangunan keusahawanan ini dapat dimanfaatkan oleh semua peringkat usahawan.
“Penekanan Belanjawan 2022 yang memberi fokus kepada usaha menjana semula ekonomi negara akan memberi impak yang signifikan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran Keluarga Malaysia.
“Dalam mengembalikan keupayaan perniagaan, pakej pembiayaan sebanyak RM40 bilion ringgit telah disediakan di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia yang merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Noh, antara insentif yang dapat dimanfaatkan ialah peruntukan berjumlah RM4.8 bilion bagi melaksanakan Program Peningkatan Kapasiti dan Pembiayaan Perniagaan yang dilaksanakan oleh TEKUN, PUNB dan Dana Kemakmuran Bumiputera.
“Selain itu, potongan cukai dua kali bagi perbelanjaan operasi dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM500,000 dan dilanjutkan bagi tempoh lima tahun sehingga 31 Disember 2025 untuk meningkatkan penglibatan syarikat anchor dalam membangunkan vendor Bumiputera.
“Dana pembiayaan Skim Pembiayaan Usahawan Informal dan Mikro serta Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh TEKUN dan dana RM230 juta bagi melaksanakan program pembiayaan untuk usahawan wanita yang terjejas melalui Program TEKUNITA oleh TEKUN dan Program DANANITA di bawah MARA,” katanya.
Noh menambah, Belanjawan 2022 juga memberikan penekanan kepada pembangunan komuniti perusahaan sosial bagi meningkatkan impak sosial melalui aktiviti perniagaan dalam kalangan komuniti.
“MEDAC mengalu-alukan pengumuman pengecualian cukai ke atas sumber pendapatan perusahaan sosial sehingga tiga tahun taksiran dan akan menubuhkan Jawatankuasa Bersama Akreditasi dengan Yayasan Hasanah bagi mengakreditasi perusahaan sosial yang berkelayakan.
“Selain itu, kerajaan juga menyediakan peluang kepada perusahaan sosial untuk menyertai perolehan kerajaan melalui Program Perolehan Impak Sosial Kerajaan akan diperluaskan di semua kementerian,” katanya. – Malaysiapost

