KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menghargai setiap inisiatif terhadap penjawat awam dalam Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Presidennya Adnan Mat berkata, ini menunjukkan kerajaan tetap komited untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam selain terus menjaga kebajikan kira-kira 1.6 juta warganya.
Katanya, Bajet 2022 menyentuh secara terus penjawat awam seperti bantuan khas kewangan sebanyak RM700 serta gantian cuti rehat yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.
“CUEPACS berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan komitmen untuk terus mendukung penyampaian perkhidmatan awam melalui inisiatif pembaharuan penyampaian perkhidmatan dan kebajikan penjawat awam.
“CUEPACS percaya penjawat awam juga tetap menerima manfaat lain melalui pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam Belanjawan 2022,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, CUEPACS berharap inisiatif disebutkan dalam Bajet 2022 akan dilaksanakan segera tanpa sebarang kajian semula.
“Setiap belanjawan yang dibentangkan sewajarnya telah melalui kajian yang terperinci sebelum diumumkan.
“CUEPACS berharap kerajaan akan melaksanakan segala inisiatif kepada penjawat awam serta rakyat yang diumumkan dalam belanjawan kali ini.
“Untuk makluman inisiatif kerajaan membenarkan penebusan awal Gantian Cuti Rehat sehingga 50 peratus atau 80 hari merupakan perkara yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2020 tetapi tidak dilaksanakan sehingga kini,” katanya.
Sementara itu, Adnan berkata, kerajaan perlu membuat semakan semula sistem saraan perkhidmatan awam dan gaji minimum.
“Ini selari dengan hasrat kerajaan mahu meningkatkan purata pendapatan isi rumah rakyat kepada RM10,000 sebulan pada tahun 2025.
“CUEPACS berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula cadangan daripada CUEPACS untuk mewujudkan sistem saraan yang baharu dalam perkhidmatan awam sekali gus memberi motivasi kepada 1.6 juta warga penjawat awam.
“Pelaksanaan sistem saraan baharu perlu dilakukan bagi memastikan ia relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem yang diwujudkan 19 tahun lalu,” katanya. – Malaysiapost

