PAKATAN Harapan (PH) hari ini mencapai kata sepakat dalam agihan kerusi yang akan ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat Majlis Presiden termasuk libat urus dan beberapa rundingan.
“Selepas mengadakan pelbagai libat urus dan rundingan, kita sudah memutuskan dan memuktamadkan agihan kerusi PH untuk PRN Melaka.
“Hasil rundingan itu, jumlah yang akan ditandingi ialah, DAP kekal lapan kerusi, Amanah sembilan dan PKR akan bertanding 11 kerusi,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – Malaysiapost

