Syarikat arak jenama Timah sedia tukar nama, imej pada label – Nanta

0
2

SYARIKAT pengeluar arak jenama Timah , Winepark Corpration (M) Sdn Bhd bersedia mempertimbang menukar nama dan imej pada label produk namun memohon tempoh seminggu bagi melalui proses selanjutnya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata melalui perbincangan secara hibrid, syarikat itu telah memohon tempoh satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama serta imej.

Nanta berkata, perkara itu adalah antara hasil keputusan yang telah dicapai dalam pertemuan wakil syarikat berkenaan bersama pihak kerajaan melalui suasana harmoni menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

“Pertemuan ini adalah susulan pertemuan pertama yang telah diadakan antara syarikat berkenaan bersama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 25 Oktober lalu.

“Usaha ini menunjukkan kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap isu jenama Timah pada sebuah produk arak keluaran tempatan yang dibincangkan di media elektronik dan sosial sejak ia dilancarkan pada awal Oktober lalu sebelum satu mesyuarat diadakan dengan melibatkan beberapa Menteri dan agensi berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, penggunaan nama ‘Timah’ bagi jenama arak dalam pasaran tempatan menjadi perdebatan sehingga dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Rata-rata tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan ‘Timah’ kerana seolah-olah memburukkan imej Islam sebagai agama Persekutuan sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam.

Sebelum ini, syarikat pengeluar arak Timah menjelaskan bahawa nama jenama itu merujuk kepada logam timah, bersempena industri perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir oleh British. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here