PRN Melaka: BN akan tawar manifesto ringkas tapi lekat di hati

0
2

BARISAN Nasional (BN) akan menawarkan manifesto ringkas tetapi lekat di hati rakyat Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN). 

Perkara itu ditegaskan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, BN akan menawarkan manifesto yang signifikan dan menarik untuk pengundi di Melaka.

Presiden Umno itu turut meminta jawatankuasa yang menguruskan hal ehwal manifesto untuk menghasilkan manifesto terbaik demi kepentingan rakyat Melaka 

“Kita telah menentukan manifesto dan garis-garis besar untuk rakyat negeri itu sebagai hidangan dan aku janji bukannya ‘aku janji bukan kitab suci’ tapi kita akan laksanakan aku janji ini demi kepentingan rakyat Melaka keseluruhannya.

“Biar manifesto itu pendek tetapi lekat di hati. Itu sebabnya manifesto ini mesti dibawa oleh calon-calon sebagai hidangan kepada pengundi di tempat mereka,” katanya pada pelancaran jentera BN bagi menghadapi PRN Melaka di Kuala Lumpur, malam tadi. 

Sementara itu, Ahmad Zahid turut menggariskan beberapa faktor utama untuk pemilihan calon pada PRN itu yang mesti memiliki keupayaan memberi kemenangan kepada parti.

“Calon ini mesti ada sikap WALI iaitu winnable (boleh menang), acceptable (boleh diterima) dan likeable (disukai) yang boleh diterima oleh semua agama, kaum dan keturunan di negeri Melaka.

“Tentunya dalam keadaan begitu ketentuan bahawa biarpun lambang BN terus menjadi pilihan namun faktor calon adalah penentu kepada kemenangan.

“Saya harapkan semua jentera BN baik dari Umno, MCA dan MIC di peringkat Pusat Daerah Mengundi dan Dewan Undangan Negeri jangan fikir bahawa ada favouritism yang akan dilakukan dalam pemilihan calon,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here