PENDAKWAH terkenal, Ebit Lew menasihatkan ibu bapa agar meluangkan masa untuk anak-anak kerana menggembirakan keluarga adalah sunnah Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, kenangan bersama anak-anak akan menjadi amal dan pahala di akhirat nanti apabila diri sudah tiada lagi.
“Dunia sementara, akhirat selamanya. Satu hari kita dah tiada. Doa anak-anak ialah anugerah Allah SWT yang terbesar.
“Berilah masa untuk anak-anak. Bagi anak-anak cinta sayang ialah masa. Masa ini akan berlalu. Tetapi kenangan bersama mereka akan menjadi amal dan pahala di akhirat nanti.
“Menggembirakan keluarga sunnah Baginda Nabi Muhammad SAW. Gembirakanlah mereka dengan berbual, makan bersama dan mendengar cerita mereka.
Semoga menjadi asbab kebaikan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini
Ebit kini membawa keluarganya bercuti keluar negara selepas kerajaan membenarkan individu yang lengkap vaksinasi melakukan perjalanan ke luar negara bermula 11 Oktober lalu.
Pendakwah itu membawa keluarganya ke Switzerland dan kini memaklumkan meneruskan percutian ke Perancis.
“Alhamdulillah. Syukur terus sambung jalan bawa bidadari dan anak-anak ke Disneyland Paris,” katanya yang turut memuat naik foto percutian bersama keluarga tersayangnya.
Perkongsian itu mendapat 60,000 tanda suka dan 1,000 komen pengguna Facebook yang mendoakan perjalanan mereka selamat dan dipermudahkan segala urusan. – Malaysiapost

