PRN Sabah: Janrywine sedih pekan Kinarut selalu banjir

0
4

PENYANYI ‘Macam di KK’ , Janrywine J Lusin yang bertanding sebagai calon Parti Liberal Demokratik (LDP) di DUN Kawang, meluahkan rasa sedih melihat kesukaran dihadapi penduduk sekitar pekan Kinarut di Papar, Sabah yang dilanda banjir kilat sejak malam tadi.

Janrywine yang meninjau sendiri masalah itu, berkata banjir di sekitar pekan itu semakin teruk sejak dua tiga tahun kebelakangan ini malah semakin kerap berlaku berikutan kegagalan kerajaan terdahulu dan yang ada sekarang menyelesaikan masalah perparitan.

Ketika dihubungi, beliau berkata penduduk yang ditemuinya mengeluh keadaan banjir semakin teruk setiap kali hujan lebat dengan ada kawasan dinaiki air sehingga paras pinggang orang dewasa.

“Saya sedih melihat keadaan penduduk dan peniaga di pekan ini, kedai-kedai di sini semua dimasuki air sejak malam tadi sehingga ke pagi ini belum lagi surut, malah mungkin bertambah buruk disebabkan keadaan cuaca buruk yang diramal berterusan dua tiga hari ini.

“Isu ini sebenarnya mudah, ia cuma memerlukan komitmen pemimpin dan kerajaan untuk melaksanakan pembaikan sistem perparitan, mendalamkan sungai dan memastikan saliran yang tersumbat dibaiki.

“Namun kerajaan sebelum ini tidak memandang serius perkara ini. Mentang-mentanglah pekan Kinarut jauh dari Papar, kawasan ini dibiarkan tanpa perhatian dan akhirnya rakyat terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.

Kinarut adalah sebuah pekan dalam kawasan DUN Kawang di Parlimen Papar yang sebelum ini disandang wakil rakyat Bersatu, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.

Janrywine berkata, apa yang lebih membimbangkan ialah keselamatan penduduk di kawasan yang terjejas memandangkan kedudukan Kinarut yang jauh dari jangkauan agensi penyelamat seperti bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Ketika saya membuat tinjauan, ada penduduk memberitahu bendera parti pun semua hanyut disebabkan banjir berkenaan tetapi saya jelaskan kepada mereka bahawa nyawa penduduk lebih penting,” katanya.

Beliau berkata, jika rakyat Kawang memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, perkara pertama yang akan dilaksanakan ialah untuk mengatasi masalah banjir.

“Saya akan menggesa kerajaan dan agensi yang berkaitan supaya bertindak segera menyelesaikan masalah perparitan di sini kerana sudah berpuluh tahun penduduk mendakwa perparitan tidak diselenggara dengan baik.

“Saya juga akan merangka pelan tindakan baharu untuk menangani masalah banjir di kawasan ini dan meminta agensi penyelamat membuka pejabat operasi di pekan ini,” katanya. -Malaysiapost