
“SALAH ke kak long bangkit terus berjuang untuk hidup,” kata penyanyi Amelina menjawab kecaman yang diterima selepas mendedahkan membuat rawatan tanam benang atau ‘threadlift’ pada rahang dan hidungnya.
Amelina, 47, yang mesra disapa Kak long berkata keputusannya untuk membuat rawatan kecantikkan itu tidak bermakna dia berubah menjadi orang lain.
“Kak long berubah ke? Saya adalah diri saya sendiri. Bukan orang lain.
“Setiap apa yang dilalui, setiap apa penderitaan hanya Allah yang mengetahui,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Bagi Amelina atau nama sebenar Norazlina Amir Sharipuddin, pihak yang mengecam tindakannya itu tidak mengetahui perjalanan sukar yang terpaksa ditempuhinya sebelum ini.
“Kalau orang yang tahu kisah hidup Kaklong mereka akan berkata ‘Alhamdulilah dia sudah bangkit semula dari traumanya’.
“Salah ke untuk Kaklong bangkit untuk terus berjuang untuk hidup Kaklong untuk keyakinan Kaklong yang dah bertahun tertanam, ditimbus, di pijak-pijak selama ini,” katanya.
Baru-baru ini, penyanyi lagu Asyik itu memuat naik video di Instagram menunjukkan sedang menjalani proses rawatan kecantikkan apabila wajahnya terpaksa dimasukkan jarum panjang yang berisi benang.
‘Ratu dangdut’ itu turut berkongsi perubahan wajahnya selepas melakukan rawatan tersebut.
Biarpun ramai yang memuji perubahan Amelina itu, namun ada juga komen-komen negatif yang mendakwa tindakan penyanyi itu seperti mengubah kejadian asal. – Malaysiapost
