BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memfailkan saman terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang didakwanya membuat pendakwaan salah terhadap beberapa kes jenayah.
Saman itu difailkan menerusi firma Raj, Ong & Yudistra di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu yang menamakan Tommy dan kerajaan sebagai defendan.
Berdasarkan salinan pernyataan tuntutannya, Najib mendakwa Tommy telah melakukan ‘misfeasans’ dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan kecuaian.
Memetik laporan Malaysiakini, saman berkenaan adalah berkaitan pendakwaan jenayah terhadapnya berkaitan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), dua kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di bawah Akta SPRM 2009.
Dia bagaimanapun menyatakan ia tidak melibatkan pendakwaan berkaitan SRC International Sdn Bhd, dahulunya subsidiari milik 1MDB sebelum menjadi milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).
Najib mendakwa susulan penubuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dia dihadapkan dengan 35 pendakwaan jenayah melibatkan empat kes itu.
Najib antaranya menuntut satu pengisytiharan yang Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, RM1,941,988, ganti rugi am, teladan dan tambahan, dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
Menurut senarai kausa dalam talian, pengurusan kes untuk saman itu akan dibuat di Jabatan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 November ini. – Malaysiapost

