KERAJAAN terpaksa mengimbangi tuntutan keselamatan dan kesihatan dengan tuntutan amalan demokrasi dalam meneruskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Menurutnya, kerajaan juga memahami kebimbangan rakyat dan rasa kurang senang dengan keputusan untuk mengadakan PRN Melaka ketika ini.
“Apabila kita membuat keputusan untuk sembah kepada ke bawah duli Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) untuk dipertimbangkan supaya tidak mengisytiharkan darurat, bermakna PRN terpaksa diadakan.
“Persoalannya sekarang apabila keputusan dibuat untuk tidak mengisytiharkan darurat dan PRN diadakan, ia bersyarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Ia supaya apa yang telah kita jayakan selama ini dalam mengharungi tindakan dan respons terhadap Covid-19 tidak terjejas kerana satu PRN” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Sementara itu, mengulas larangan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM), Hishammuddin percaya tindakan itu berdasarkan apa yang berlaku baru-baru ini.
Beliau yang bertanggungjawab dalam pengurusan pandemik di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkata terdapat banyak perhimpunan serta majlis yang mungkin dianggap sosial tetapi ada kaitan dengan pilihan raya di Melaka.
“Ia membabitkan ramai individu yang berkumpul lebih daripada 50 peratus yang ditetapkan dalam SOP biasa dan ramai yang tidak memakai pelitup muka serta penjarakan sosial juga tidak dipatuhi oleh mereka yang terlibat.
“Jadi itu trend yang tidak boleh dibenarkan ketika ini kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya dipertanggungjawabkan dalam perjalanan pilihan raya selepas 8 November ini.
“Maka sebelum itu tanggungjawab adalah di bawah Akta 342 membabitkan KKM dan dipantau oleh MKN serta dikuatkuasa oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Menurutnya, larangan itu bagi memastikan tiada perkara yang boleh menimbulkan atau mengundang kemarahan rakyat terhadap ahli atau parti politik
“Janggal kalau kita lihat SOP yang longgar sebelum 8 November ini, tetapi pada pilihan raya nanti SPR umumkan SOP yang ketat.
“Jadi apa yang diumum dan diputuskan oleh KKM saya percaya sudah mengambil kira semua faktor,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Hishammuddin Hussein

