Tealive 100 peratus halal, disahkan Jakim

0
2

SETIAP bahan mentah digunakan dalam ramuan produk Tealive wajib menjalani tapisan rapi menerusi kaedah pembelian berpusat atau ‘centralized purchasing’ bagi memastikan ia sentiasa halal.

Pengurus Operasinya Khairul Anuar Baharudin berkata pembelian berpusat dikendalikan ibu pejabat Tealive itu kemudian akan mengedarkan item atau bahan mentah kepada 670 outlet di seluruh negara.

Jelasnya, bahan mentah yang digunakan akan dipastikan memiliki status halal oleh ibu pejabat Tealive terlebih dahulu menerusi semakan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Khairul Anuar Baharudin (Kiri)

“Ini termasuklah bahan mentah yang diimport, dan pihak kita akan memastikan sijil halal daripada negara pengeluar itu diiktiraf Jakim terlebih dahulu.

“Dengan cara pembelian berpusat ini, tidak dibenarkan setiap outlet kami sewenang-wenangnya menggunakan bahan atau ramuan sendiri kerana pihak ibu pejabat akan menyediakan atau menghantarnya kepada semua outlet.

“Ini bukan sahaja untuk bahan mentah, malah semua peralatan seperti gelas plastik dan bekas makanan juga pihak ibu pejabat bekalkan kepada semua outlet,” katanya kepada Malaysiapost ketika ditemui di Tealive cawangan Seri Petaling.

Produk Tealive

Justeru, Khairul Anuar berkata, tidak timbul status halal produk Tealive diragui kerana pihak syarikat telah melakukan pemantauan rapi dan menggunakan kaedah tepat dalam memastikan produk dikeluarkan halal dan patuh syariah.

“Jadi orang ramai tak perlu risau mengenai status halal produk kami, 100 peratus dijamin halal dan telah disahkan Jakim.

“Kami sentiasa menitik beratkan isu halal ini dan menggunakan cara tepat iaitu centralized purchasing dalam memastikan tidak timbul keraguan dalam isu halal,” katanya sambil menunjukkan sijil halal dikeluarkan Jakim.

Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Dr Zahazan Mohamed yang turut ditemui di cawangan tersebut memuji dan berharap penggiat industri makanan dan minuman mempraktikkan idea-idea dilakukan jenama tersebut khususnya bagi usahawan muslim.

Datuk Dr Zahazan Mohamed

“Tahniah kepada Tealive yang sangat berdedikasi. Alhamdulillah saya lihat tempat ini bersih. Seperti yang kita lihat mereka dapat sijil halal. Mereka membuat makanan dan minuman yang baik merangkumi keperluan semua.

“Jadi tiada keraguan tentang isu halal, orang Islam boleh minum dan makan produk Tealive tanpa was-was,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here