PEMUDA Umno akan mengganda dan memperkasakan strategi digital dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akur dengan langkah kerajaan yang tidak membenarkan kempen secara konvensional pada PRN itu.
“Kita terpaksa berhadapan pilihan raya dalam suasana pandemik belum pulih, walaupun hampir mencapai 90 peratus divaksin (populasi dewasa) yang dikhabarkan semalam oleh Kementerian Kesihatan.
“Tetapi hakikatnya ia tidak memberi lesen besar kepada kita melakukan kempen secara konvensional,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Justeru, Asyraf Wajdi berkata, Umno akan memantapkan penggunaan platform media digital yang ada bagi memenangi hati pengundi Melaka nanti.
“Kita nak pelbagaikan kempen melalui media digital secara terbuka di Facebook, Twitter, Instagram, TikTok mahu pun aplikasi media tertutup seperti Telegram, WhatsApp dan sebagainya.
“Jadi kita akan guna strategi itu untuk diperkasakan, mekanisme ini boleh digunakan untuk pilihan raya akan datang,” katanya.
Ditanya, adakah Pemuda Umno akan mendesak kerajaan melonggarkan larangan tersebut, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya akur dan faham mengapa larangan itu dikuatkuasakan pada PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan.
“Kita pun memikirkan kesihatan dan keselamatan rakyat terutamanya. Kita cuba untuk bergerak dan bekerja dalam kapasiti, ruang lingkup yang ditetapkan kerajaan, yang lain itu terserah kepada kepimpinan tertinggi,” katanya.
Kempen PRN Melaka akan bermula pada 8 November ini iaitu sebaik penamaan calon. – Malaysiapost

