Anwar: PH sedia runding dengan Mahathir, akan putuskan Selasa ini

0
3

PRK SLIM | Pakatan Harapan (PH) belum membuat keputusan untuk memberi laluan kepada “Bersatu blackout” yang merupakan pasukan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Sebaliknya kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau keliru apabila Bersatu blackout mengumumkan untuk meletakkan calon dalam PRK itu nanti.

“Tidak. Pendirian kita adalah kita berunding dengan mereka, apa pendirian mereka.

“Kemudian pada Selasa, PH akan bertemu untuk memutuskannya,” kata Anwar kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan, hari ini.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan bekas setiausaha agung Bersatu yang disingkirkan Datuk
Marzuki Yahya mengumumkan ‘Bersatu Blackout’ akan bertanding PRK itu bagi menentang calon Barisan Nasional (BN).

Marzuki sebelum ini mendakwa seorang ahli Majlis Presiden PH memberitahunya bahawa gabungan pembangkang itu tidak akan bertanding pada PRK itu nanti.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, PH telah memutuskan untuk tidak bertanding dalam PRK Chini sebelum ini kerana penularan wabak Covid-19.

Namun katanya, situasi berbeza sekarang dan pendirian PH sebelum ini akan dikaji semula.

Bagaimanapun Anwar mengakui PH telah menghantar wakil untuk berunding dengan kumpulan Mahathir tetapi tetap mempertahankan keputusan yang akan dibuat minggu depan.

“Kami perlu putuskan terlebih dahulu, sebagai PH, untuk berunding dengan kumpulan Mahthir kerana mereka bertanding pada PRK yang lalu,” katanya.

Kerusi Dun Slim kosong berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Beliau merupakan Adun yang mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal iaitu sejak 2004.

Pada PRU ke-15 lalu Khusairi menewaskan calon PH, Mohd Amran Ibrahim; serta Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.

Pada 16 Julai lalu, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berkata parti itu akan meletakkan calon di PRK berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini.