PM lancar Dasar Agromakanan 2021-2030

0
2

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bertujuan meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan, dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

Perdana Menteri berkata usaha tersebut bakal dijayakan melalui pemodenan dan pertanian pintar serta memperkukuh rantaian nilai agromakanan.

Keutamaan dasar kali ini, katanya, ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan.

“Isu sekuriti makanan semakin mendapat tumpuan di peringkat global. Dalam Persidangan United Nations Food Systems Summit pada 23 September lalu, saya telah menggariskan fokus transformasi sistem makanan negara.

“Fokus ini bakal dilaksanakan melalui DAN 2.0, dengan tempoh pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030,” katanya pada majlis pelancaran itu hari ini.

Perdana Menteri berkata, bagi mencapai matlamat DAN 2.0, kaedah pertanian pintar menjadi fokus memodenkan sektor tersebut yang bertujuan meningkatkan produktiviti merangkumi semua subsektor agromakanan.

Katanya, pertanian pintar itu merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Sehubungan itu, DAN 2.0 telah meletakkan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai ‘key game changer’ bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan.

“Ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerimagunaan
teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

“Dalam hal berkaitan, bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini,” katanya.

Seiring itu, Ismail Sabri berkata kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here