[PARLIMEN] DEWAN Rakyat terpaksa menunggu lagi untuk menerima Timbalan Speaker yang baharu apabila undian untuk memilih pengganti Datuk Seri Azalina Othman ditangguhkan ke sidang Parlimen seterusnya.
Undian bagi memilih Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sepatutnya dijadual dilaksanakan hari ini.
Bagaimanapun sebentar tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan usul penangguhan selepas sesi soal jawab.
Beliau tidak memberikan alasan berhubung penangguhan tersebut dan usul kemudian diluluskan menerusi undi suara.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor diumumkan sebagai calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat oleh Umno.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sebelum itu, Umno mencadangkan Ahmad sebagai calon tunggal bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Azalina yang meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.
Namun Ahli Parlimen Pontian itu mengumumkan menarik diri daripada pencalonan bagi jawatan tersebut.
Pakatan Harapan (PH) pula dilaporkan mencalonkan Nga Kor Ming sebagai calon Timbalan Speaker bagi pihak pembangkang.
Pemilihan untuk jawatan itu sepatutnya dilaksanakan sebaik sidang kali ini bersambung pada bulan lalu, namun ditangguhkan dikaitkan dengan penolakan Bersatu terhadap pencalonan Ahmad. – Malaysiapost

