SEEKOR anak gajah berusia kira-kira seminggu yang jatuh di Sungai Endau, Johor diselamatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai petang tadi.
Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, kira-kira 2 petang, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada penduduk Kampung Orang Asli Tanah Abang sebelum empat kakitangannya dikejarkan ke lokasi.
Salman berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati anak gajah berkenaan sudah diselamatkan penduduk kampung sebaik terjatuh ke sungai.
“Anak gajah itu terjatuh ketika cuba menyeberangi Sungai Endau dan tertinggal oleh kumpulannya.
“Pemeriksaan juga mendapati anak gajah berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius kecuali kesan luka kecil lama,” katanya memetik laporan Hmetro hari ini.
Menurutnya, anak gajah itu dibawa ke Pejabat Perhilitan Daerah Mersing untuk pemeriksaan lanjut doktor veterinar jabatan itu.
“Anak gajah berkenaan akan dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah di Lanchang, Pahang,” katanya.
Tambah Salman, ia anak gajah kedua yang diselamatkan pihaknya tahun ini.
Terdahulu, seekor anak gajah ditemui berkeliaran bersendirian di Batu 7, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan berjaya diselamatkan pada 14 Julai lalu. – Malaysiapost

