DAP bantah larangan aktiviti pilihan raya dikeluarkan KJ

0
2

DAP mengecam larangan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya seperti di umumkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, hari ini.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng, berkata larangan yang membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula 25 Oktober hingga 27 November itu menunjukkan parti pemerintah mungkin takut menghadapi pengundi.

Beliau mendakwa, ia mungkin kerana parti berkenaan yang telah menyebabkan kejatuhan Kerajaan Negeri Melaka dan kegagalan dalam pentadbiran seperti pandemik Covid-19 serta kemelesetan ekonomi.

“Tetapi kerajaan tidak boleh membiarkan ketakutan untuk menghadapi pengundi sehingga melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjalankan pilihan raya dengan adil, bebas dan saksama.

“Jika Khairy sememangnya bimbang tentang risiko jangkitan baharu Covid-19, dia sepatutnya tidak membenarkan pilihan raya daripada diadakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng mendakwa, Khairy tidak berani melakukannya kerana tahu ia akan menyalahi undang-undang, oleh sebab itu dia menggunakan taktik yang tidak beretika dan berat sebelah untuk menguntungkan kerajaan.

“Khairy mengambil alih peranan SPR dan mempersendakan demokrasi dan keseluruhan proses pilihan raya.

“Lebih baik Khairy sahaja menjalankan keseluruhan proses pilihan raya dan bukannya SPR. Larangan Khairy mengingatkan kita tentang Malaysia di bawah ‘total lockdown’.

“Sekarang apabila Malaysia dibuka semula tanpa sebarang ‘lockdown’, mengapa ada ‘total lockdown’ yang dikenakan dalam kempen pilihan raya? Jelas ini adalah gambaran yang bercanggah tentang sebuah negara, dua sistem berbeza,” katanya.

Menurutnya, DAP juga akan mengarahkan peguam untuk mengkaji sama ada larangan dan sekatan kepada calon untuk bertemu pengundi adalah sah dan mematuhi peraturan dan peraturan pilihan raya.

“Pemimpin DAP dan Pakatan Harapan (PH) akan bermesyuarat untuk membincangkan sekatan yang tidak adil dan tidak demokratik ini yang bertujuan untuk melumpuhkan pembangkang dan memberi kelebihan awal kepada kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here