JOHOR dan Terengganu akan memulakan pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan mengikut ketetapan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 November ini.
Kedua-dua negeri berkenaan sepatutnya memulakan pengoperasian mengikut Fasa 4 PPN pada 7 November, namun tarikh berkenaan adalah cuti tambahan sempena Deepavali.
KPM dalam satu kenyataan, memaklumkan pengoperasian itu akan membabitkan kemasukan bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3) sekolah rendah serta murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 sekolah menengah.
Menurut KPM, bagi institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM pula akan beroperasi mengikut takwim masing-masing.
“Kehadiran murid Tahap 2 (Tahun 4, 5 dan 6) sekolah rendah serta kelas peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 sekolah menengah bagi kedua-dua negeri itu pula akan bermula pada 14 November.
“Ia seminggu selepas negeri-negeri tersebut memulakan pengoperasian berdasarkan ketetapan Fasa 4 PPN,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu juga adalah susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu berkaitan peralihan fasa PPN bagi Johor dan Terengganu ke Fasa 4 PPN berkuat kuasa esok.
Menurut KPM, penetapan pengoperasian institusi pendidikan bawah kementerian itu akan mengikut fasa baharu yang akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan fasa di sesebuah negeri.
“Institusi pendidikan bawah KPM dalam kenyataan ini turut merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.
“KPM menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. – Malaysiapost

