INDUSTRI hiburan kehilangan satu ‘permata’ bernilai apabila pengarah filem tersohor, Mamat Khalid, 58, disahkan meninggal dunia kira-kira 12.30 tengah malam tadi akibat serangan jantung.
Berita duka tersebut turut dirasai pemimpin-pemimpin negara yang terkejut dengan pemergian pengarah itu yang cukup terkenal dengan filem komedi satira dan sering menyelitkan isu masyarakat serta kritikan sosial.
Menurut bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga Mamat dan berkata bahawa industri hiburan tanah air telah kehilangan seorang seniman yang berbakat besar.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Industri hiburan telah kehilangan seorang seniman dan pengarah filem yang berbakat. Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Mamat Khalid. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di Facebook, pagi ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau kehilangan seorang insan yang telah dianggap seperti abang kandungnya sendiri.
Beliau memaklumkan rapat dengan keluarga Mamat kerana mereka sama-sama tinggal di Kampung Sungai Rokam, Ipoh.
“Saya membesar di Kampung Sungai Rokam bersama dengan Allahyarham… amat rapat dengan keluarga Allahyarham termasuk isterinya.
“Ini bukan sahaja kehilangan yang besar buat negara dan bidang seni perfileman tetapi kepada saya secara peribadi kehilangan yang amat besar,” luahnya.
Dalam masa sama, Ahmad Faizal memohon semua pihak bersama-sama mendoakan agar Allahyarham Mamat diampunkan segala dosa dan dihimpunkan bersama-sana orang yang beriman serta beramal soleh.
Allahyarham Mamat atau atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid, meninggal dunia akibat serangan jantung, di dalam ambulans ketika dalam perjalanan ke Hospital Slim River, tengah malam tadi.
Dikatakan beliau rebah ketika berada di restoran miliknya di Sarang Art Hub, Slim River sebelum dikejarkan ke hospital.
Allahyarham sebelum ini pernah beberapa kali menerima rawatan di hospital akibat masalah paru-paru dan jantung.
Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Hasmah Hassan dan lima orang cahaya mata.
Antara karya nukilannya yang berjaya ‘pecah panggung’ dan mendapat tempat di hati penonton seperti Man Laksa, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Zombi Kampung Pisang, Estet dan 16 Puasa. – Malaysiapost

