RISDA Wilayah Sarawak salur RM51 juta kepada pekebun kecil getah

0
2

RISDA Sarawak memperuntukkan RM51.02 juta untuk disalurkan kepada 114,171 Pekebun Kecil Getah di wilayah itu.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peruntukan bantuan itu bagi program Kawasan Bertanam Getah, Aktiviti Ekonomi Tambahan, (AET), Pembangunan Produktiviti dan Agromakanan.

“Program Tanam Semula Getah dilihat mendapat sambutan daripada pekebun kecil setelah bantuan tersebut ditingkatkan kepada RM14,805.00 sehektar berbanding tahun sebelumnya iaitu RM13,500.00 sehektar.

“Seluas 1,301 hektar telah ditanam semula yang memberi manfaat kepada seramai 1,504 pekebun kecil di Sarawak,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan RISDA dan Quickwin KEMAS di Kuching hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah.

Tambah Mahdzir, seluas 6,163 hektar lagi tanah pekebun kecil yang melaksanakan program tanam semula pada tahun sebelumnya masih diteruskan bantuan tahun ini dengan 14 kawasan Tanam Semula Berkelompok (TSB) turut dibangunkan.

Bagi keperluan prasarana pertanian, katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melalui RISDA telah menyediakan 75.1 kilometer jalan pertanian, 67 unit pembentung, 3.2 kilometer sistem perparitan dan dua jambatan untuk kemudahan operasi perladangan.

“Kesemua bantuan Kawasan Bertanam Getah itu melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM19 juta.

“Manakala bantuan peningkatan produktiviti getah pula membabitkan kawasan seluas 513.59 hektar dengan peruntukan sebanyak RM300 ribu.

“Bagi tujuan mengimbangkan pendapatan bukan hanya dari sektor getah, RISDA menyediakan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di mana seramai 145 orang usahawan pekebun kecil telah menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.48 juta dalam pelbagi sektor keusahawanan,” katanya.

Menurut Mahdzir, Program Agromakanan pula yang baharu diperkenalkan tahun ini membabitkan 46 peserta dalam kalangan  pekebun kecil yang terlibat dalam program ternakan, tanaman jangka pendek dan jangka panjang.

“Sebagai kerajaan yang membawa aspirasi Keluarga Malaysia, KPLB turut meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh tahun 2021 (BMT 2021) kepada 232,319 pekebun kecil RISDA dan 86,323 orang pekebun kecil Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terjejas pendapatan ketika musim tengkujuh,” katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata RISDA Sarawak menyalurkan RM29.46 juta bagi program BMT 2021 kepada 49,103 pekebun kecil.

“Pekebun kecil akan menerima bantuan tersebut pada bulan November dan Disember ini melalui perbankan elektronik terus ke akaun penerima,” katanya.

Pada majlis sama, seramai 100 pekebun kecil menerima Bantuan Bakul Prihatin daripada pekebun kecil dengan peruntukan RM5,000 disalurkan di seluruh Wilayah Sarawak.

Bantuan Program Tanggungjawab Sosial Korporat di bawah Yayasan RISDA itu bagi membantu penduduk luar bandar dan pekebun kecil yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here