Yayasan Keluarga Malaysia bantu anak yatim, yatim piatu akibat Covid-19

0
2

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan produk terbaru Keluarga Malaysia iaitu Yayasan Keluarga Malaysia sebagai institusi yang akan membantu anak-anak yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana wabak Covid-19.
Menurutnya, institusi itu akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia berkenaan dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
Beliau turut berkongsi kisah mengenai dua keluarga yang hilang tempat bergantung dan berpaut kasih akibat wabak Covid-19.
“Hari ini, dalam usaha kita memeta perjalanan pemulihan, melalui pelbagai program dan inisiatif, saya ingin berkongsi kisah untuk kita insafi bersama.
“Kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih,” katanya ketika berucap sempena Pelancaran Keluarga Malaysia di di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching di Sarawak hari ini.
Menurutnya, kisah tersebut membabitkan Nazurah Nabilah Benyajeed, 19, yang terpaksa menjaga tujuh adiknya, manakala Hadrami Hasil, 11, menjadi ketua keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama empat adik dan ironinya, adik bongsunya, Hadrami baru berusia 3 tahun.
“Anak-anak ini adalah antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu kerana wabak Covid-19.
“Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu-waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa,” katanya.
Ismail Sabri dengan rasa rendah diri, menyeru seluruh Keluarga Malaysia untuk berkongsi kasih sayang dengan anak-anak berkenaan, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan-rakan seusia mereka.
“Dengan ini, saya melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai institusi yang akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.
“Yayasan Keluarga Malaysia merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, yang kita zahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik,” katanya.
Menurutnya, yayasan itu akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.
“Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia.
“Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here