IDEA Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata melalui Keluarga Malaysia kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.
“Mengambil contoh sebuah keluarga, andai kata ada di kalangan anak kita yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu kita akan memberi lebih tumpuan.
“Apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching di Sarawak, hari ini.
Menurutnya, begitu juga dalam pentadbiran kerajaan pada hari ini di mana Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan.
“Sejajar dengan ini, pembangunan sosioekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan.
“Sarawak merupakan antara enam negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar,” katanya.
Ismail Sabri berkata, bagi tujuan itu, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) akan diagihkan kepada enam negeri berkenaan.
Menurutnya, ia membabitkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.
Katanya, pendekatan sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.
“Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai ‘Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran’, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang.
“Khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

