Laporan pakar kes kematian pelajar dijangka siap minggu depan

0
2

JABATAN Kesihatan Negeri (JKN) Johor masih menunggu laporan pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor berhubung punca sebenar kematian seorang pelajar yang dikatakan meninggal dunia selepas menerima vaksin Covid-19.
 
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata keputusan pemeriksaan lanjut itu dijangka boleh diperolehi antara 24 hingga 28 Oktober ini dan pelbagai ujian darah juga sudah dihantar ke makmal yang masih menunggu keputusan.
 
Beliau merujuk kepada hantaran di Facebook (FB) Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi semalam yang berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan keputusan bedah siasat dengan telus dan segera berhubung kes berkenaan.
 
Menurutnya, tular menerusi FB bertarikh 22 Oktober lalu mengenai Allahyarhamah Noor Hayati Nabila Abdullah, 14, yang meninggal dunia selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19.
 
“Allahyarhamah telah dibawa oleh Pegawai Penyiasat Polis Balai Polis Batu Pahat ke Unit Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada 8 Oktober lalu atas sebab kematian mengejut.
 
“Hospital telah menerima permohonan bedah siasat daripada Polis Batu Pahat ke atas jenazah remaja perempuan yang ditemui meninggal dunia oleh ibunya di ruang tamu rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Dr Aman berkata, temubual lanjut oleh Pegawai Perubatan Unit Perubatan Forensik HSNI bersama waris mendapati Allahyarhamah tidak mempunyai sebarang jenis penyakit dan alahan serta menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada 3 Oktober lalu.
 
“Status kesihatannya pasca vaksin dalam keadaan baik, tidak menghadapi demam, selsema, lemah sendi atau susah bernafas serta boleh menjalani aktiviti harian seperti biasa.
 
“Pada 8 Oktober lalu, bedah siasat telah dijalankan, pemeriksaan luaran jenazah berkeadaan baik dan pemeriksaan dalaman mendapati ketumbuhan di ovari dan anomali struktur jantung,” katanya.
 
Beliau berkata, kesemua sampel tisu dalam badan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut di HSA, Johor Bahru.
 
“Laporan bedah siasat ini dikategorikan masih belum lengkap kerana keputusan uji kaji masih belum diterima dan laporan bedah siasat yang lengkap adalah perlu bagi mendapatkan sebab kematian Allahyarhamah.
 
“Bagaimanapun, jabatan ini mengambil perhatian di atas perkara yang tular ini,” katanya.
 
Terdahulu, Mohd Puad dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan menziarah keluarga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kolam Air Batu Pahat, Noor Hayati Nabilah yang meninggal dunia selepas menerima dos pertama vaksin Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here