98.3% kes baharu Covid-19 adalah kategori 1, 2

0
2

SECARA keseluruhan daripada 5,828 kes baharu harian Covid-19 yang dilaporkan hari ini, hanya 97 kes atau 1.7 peratus adalah berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sebahagian besarnya iaitu 5,731 kes atau 98.3 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

Menurutnya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 620 kes dengan 533 kes disahkan Covid-19, manakala 87 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes yang memerlukan bantuan pernafasan pula adalah 297 kes (229 kes disahkan Covid-19; 68 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah sebanyak 9,178 kes menjadikan 2,320,391 kumulatif kes sembuh di Malaysia berbanding 5,828 kes baharu atau 2,426,050 kes.

“Sebanyak tujuh kes import dilaporkan hari ini membabitkan lima warganegara dan dua bukan warganegara, manakala 5,821 kes tempatan iaitu 5,564 warganegara dan 257 bukan warganegara.

“Jumlah kluster yang direkodkan setakat ini adalah 5,719 kluster dengan dua kluster baharu dilaporkan hari ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dua kluster baharu berkenaan adalah membabitkan kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Sentol Kluang, Johor dengan 10 kes dikesan dan Kluster Blok 03, Kinabatangan di Sabah membabitkan 19 kes.

Menurutnya, jumlah kluster yang telah tamat setakat ini adalah 5,162 kluster dan yang masih aktif adalah sebanyak 557 kluster.

“Orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 dinasihat supaya terus mematuhi saranan yang diberikan.

“Patuhilah prosedur operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here