KD Badik tingkat keupayaan Armada Timur

0
2

KEUPAYAAN Armada Timur dipertingkat dengan penyertaan KD Badik ke Skuadron Kapal Misi Pesisir (LMS) Ke-11.

Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata penyertaan KD Badik akan menambahkan lagi keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam menjaga perairan negara.

“KD Badik adalah salah satu daripada empat buah Littoral Mission Ship yang diperolehi sejajar dengan Program Transformasi TLDM 15to5.

“Kehadiran kapal baharu iini akan meningkatkan lagi keupayaan Armada TLDM dalam memelihara kedaulatan dan kepentingan maritim negara.

“Kejayaan KD Badik menyertai Skuadron LMS Ke-11 pada hari ini juga adalah hasil profesionalisme ditunjukkan Pasukan Projek LMS TLDM di China sepanjang pembinaan kapal LMS TLDM bagi memastikannya siap dibina mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas upacara Pentauliahan KD Badik di Markas Wilayah Laut 2, Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar di Kota Kinabalu hari ini.

Mohd Reza turut memaklumkan pembinaan kapal tersebut melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China melalui firma tempatan iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd dan China Shipbuilding & Offshore International Cooperation Limited.

“Sehingga kini tiga kapal telah diterima termasuk KD Badik manakala sebuah lagi dijangka diterima pada Disember tahun ini.

“Sebagaimana KD Keris dan KD Sundang, KD Badik juga diletakkan di bawah pemerintahan Panglima Armada Timur, Markas Pemerintahan Armada Timur, Pangkalan TLDM Kota Kinabalu Sabah”, katanya.

Menurutnya, sebanyak 47 kru pertama akan menganggotai KD Badik dan diketuai Pegawai Memerintah KD Badik, Komander Mohd Sharedzwan Saharudin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here